[Sambungan daripada Bahagian I.]

Seseorang manusia yang dapat menikmati akidah berimannya kepada qadar Allah, meyakini bahawa apa yang menimpa dirinya, ia tidak akan menyimpang daripadanya, meyakini bahawa sekiranya umat manusia bersepakat untuk mengenakan kemudharatan, kemudharatan itu tidak akan mengenainya kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan kepadanya & meyakini bahawa seseorang itu tidak akan mati hingga telah sempurna rezekinya & sampai ajalnya. Manusia inilah sahaja yang bebas daripada memperhambakan diri kepada sesama manusia kepada memperhambakan diri kepada Allah, Tuhan manusia, kerana:

  • Bagaimana ia berani sujudkan mukanya kepada mana-mana kekuatan di dunia ini sedangkan ia mengetahui bahawa segala urusan berada di tangan Allah, Tuhan Pencipta langit, bumi & isi kandungan kedua-duanya?
  • Bagaimana ia boleh melemahkan dirinya dengan tunduk kepada seorang hamba yang diciptakan daripada tanah?!

Berkata Ibn Rejab r.a., “Siapa yang meyakini bahawa tiap-tiap makhluk yang berjalan di atas tanah ini adalah tanah juga:

  • Maka apakah sebabnya ia mentaati manusia yang dicipta daripada tanah & tidak mentaati Allah Tuhan manusia?
  • Atau bagaimana ia berpuas hati dengan tanah, sedangka ia mendapat kemurkaan Allah?
  • Sesungguhnya ini adalah suatu perkara yang ghaib!”[i]

Sesungguhnya akidah ini akan membendung segala perasaan takut & gerun dalam hati yang berisi penuh dengan akidah ini… akidah inilah yang menolak diri tuannya untuk berjihad melawan orang kafir & orang zalim dengan tidak rasa gerun sedikitpun kepada rancangan serangan mereka…

  • Kenapa ia harus gerun kepada mereka, sedangkan Allah Penciptanya & Pencipta mereka juga telah menjamin akan menyempurnakan rezeki & ajalnya?!
  • Kenapa ia harus takut, sedangkan ia yakin bahawa bila telah ditakdirkan, maka takdir itu tetap berlaku. Dan bila tidak ditakdirkan, maka sesuatu itu tidak akan berlaku. Alangkah tepatnya rangkaian syair ini:

Dua hari, hari manakah yang saya lari daripada manusia
Hari yang tidak ditakdirkan atau hari yang telah ditakdirkan
Hari yang tidak ditakdirkan saya tidak merasai gerun
Dan kalau hari yang ditakdirkan tidak berguna segala usaha.

Jiwa yang beriman kepada qadar Allah akan merasai satu nikmat yang tidak sama dengan nikmat kebendaan di dunia ini, iaitu nikmat puas hati & rela dalam semua keadaan.

Kerana jiwa itu yakin bahawa segala takdir itu berlaku dengan perintah, kehendak & takdir Allah S.W.T., & tadbir-Nya. Dan segala kejadian yang berlaku adalah dengan sebab hikmah Allah & iradat-Nya, Allah mengetahui sedang mereka tidak mengetahui.

Firman Allah S.W.T.:

Al-Baqarah-2_216 (part)

… Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu, sedang ia adalah kebaikan bagi kamu. Dan boleh jadi kamu kasihkan sesuatu, sedang ia adalah kejahatan bagi kamu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.

[Surah al-Baqarah, 2: 216]

Jiwa yang beriman kepada qadar Allah itu mengetahui bahawa Tuhan yang mentakdirkan baik & jahat kepadanya itu adalah Tuhan yang Bijaksana lagi Kasihan Belas, lalu ia tidak sombong dengan sebab mendapat sesuatu nikmat & tidak pula gelisah dengan sebab ditimpa sesuatu bencana. Dengan demikian, ia selalu bersyukur ketika mendapat kesenangan & bersabar ketika mendapat kesusahan. Kedua-dua itu adalah kebaikan baginya.

Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya: “Hairan bagi (urusan) seorang mukmin. Sesungguhnya segala urusannya adalah baik baginya. (Kebaikan ini) hanya bagi orang mukmin sahaja, tidak kepada orang lain, (iaitu) jika ia beroleh kesenangan ia bersyukur, maka menjadi kebaikan baginya. Dan jika tertimpa ke atasnya kesusahan ia bersabar, maka menjadi kebaikan juga baginya.”

[HR Muslim & Ahmad]

Oleh itu, orang mukmin ialah:

  • Orang yang tatkala ditimpa musibah, ia yakin bahawa itu adalah takdir Allah, lalu ia bertenang & merasa redha dengan musibah itu. Maka jadilah ia di saat itu, sangat beradab dengan Tuhan Penciptanya, kerana ia sedikitpun tidak membantahinya.
  • Orang yang amat mengharapkan pahala daripada penderitaan atau akibat dari musibah itu, lalu ia redha & bersabar.

Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya: “Manusia yang paling banyak menempuhi ujian ialah para Anbiya’, kemudian yang seumpama mereka, kemudian yang seumpama dengan mereka. Diuji seorang lelaki daripada mereka menurut kekuatan & kelemahan agamanya. Jika (pegangannya) kepada agamanya kuat, diuji mengikut qadar (kekuatan itu), (sebaliknya) jika (pegangannya) kepada agamanya lemah, maka diringankan daripadanya. Ujian itu akan berkekalan bersama lelaki itu hingga ia memberikan lelaki itu berjalan di bumi sedang padanya tidak ada sesuatu kesalahanpun.”

[HR Bukhari & Muslim]

Ibn Qayyim mengungkapkan hal ujian ini dengan syairnya:

Apabila engkau ditimpa ujian, maka bersabarlah
Sebagaimana sabar seorang yang mulia, kerana menjadikan engkau lebih mulia
Tetapi jika engkau merayu kasihan kepada Adam
Maka engkau merayu kepada orang yang tidak kenal kasihan belas.

Alqamah bin Abi Alqamah r.a. mentafsirkan Firman Allah:

At-Taghabun-64_11

Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

[Surah at-Taghabun, 64: 11]

Dengan katanya, “Iaitu seorang lelaki yang ditimpa ke atasnya musibah, lalu mengetahui bahawa musibah itu datangnya daripada Allah lalu ia redha & menyerah diri.”

Berkata Ibn Abbas mengenai ayat di atas, “Allah akan hidayatkan hati seorang mukmin kepada “Al-Yakin”, yang menyebabkan ia mengetahui bahawa apa yang akan menimpa ke atasnya tidak akan menyimpang daripadanya, & apa yang menyimpang daripadanya tidak akan menimpa ke atasnya.”

Jiwa para sahabat tinggi memuncak keimanan mereka dengan akidah ini. Hati mereka menjadi lembut hingga kesenangan, kesusahan, kesyukuran & kesabaran adalah sama dalam perasaan mereka, sebagaimana Umar bin Al-Khattab r.a. berkata: “Sekiranya sabar & syukur itu merupakan dua ekor unta, maka saya tidak memilihnya, kedua-duanya saya akan menaikinya.”

Berkata Abu Muhammad Al-Hariri, “Sabar itu bererti kita tidak memilih di antara nikmat & musibah, tetapi kita hadapi kedua-dua itu dengan penuh tenang hati.”

[Akan bersambung dalam Bahagian III.]

Nota daripada buku:

[i] Buku Jama’ul Ulum Wal-Hikam bagi Ibn Rejab halaman 385.


Petikan daripada:

“Iman: Rukun, Hakikat & Pembatalannya.” Topik: Beriman Kepada Qadar Dan Pengaruhnya Dalam Kehidupan Seorang Muslim, m.s. 242-247. Karya Dr. Muhammad Naim Yasin. Diterjemah oleh Ust. Abdul Rahman Abdullah (Universiti Songkla Nakarin, Patani). Diterbitkan oleh Pustaka Darussalam Sdn. Bhd., Edisi Semakan Semula, 2015. Judul asal dalam Bahasa Arab: “Al-Iman: Arkanuhu, wa haqiqatuhu, wa nawaqidhuhu.”

Advertisements