Islam berpijak di atas asas menyerah segala-gala kepada hikmah Allah & iradat-Nya, tidak banyak persoalan yang ditimbulkan mengenai pentafsilan[a] hikmah Tuhan dalam hal suruhan & larangan. Demikian sikap para sahabat Nabi dahulu. Kerana pembinaan Islam tertegak di atas asas menyerah diri kepada Allah. Martabat pertama dalam menjunjung perintah Allah ialah beriman kepada perintah-Nya, kemudian berazam sungguh-sungguh untuk melaksanakannya & segera menunaikannya.

Inilah sikap para sahabat yang mulia. Mereka sangat beradab dengan Allah & dengan Rasul-Nya.

Berkata Ibn Abbas r.a. mengenai sikap para sahabat, “Aku tidak pernah melihat mana-mana kaum yang lebih baik daripada para sahabat Rasulullah s.a.w., kerana mereka tidak bertanyakan baginda Rasulullah kecuali dalam tiga belas masalah hingga baginda wafat.”[i]

Dalam masalah qadar, para sahabat, tabi’in & semua ahli Sunnah Wal-Jamaah telah ijmak mengatakan bahawa semua [perkara yang berlaku terhadap] makhluk yang hidup sampai ke hari kiamat adalah [sudah] tertulis dalam Kitab atau Lauh Mahfuz.

Ibnu Al-Dailami menceritakan: Aku datang menemui Ubai bin Kaab, aku berkata kepadanya, “Ada terasa sesuatu dalam hatiku mengenai masalah qadar, maka ceritakanlah kepadaku mengenainya moga-moga Allah menghilangkan perasaan itu dari hatiku.” Ubai berkata, “Sekiranya Allah menyeksakan ahli langit & ahli buminya, dalam hal Dia menyeksa mereka, Dia tidak menzalimi mereka. Dan sekiranya Dia mengasihi mereka, maka kasihan belasnya adalah lebih baik bagi mereka daripada amalan mereka. Sekiranya engkau membelanjakan harta yang bertimbun-timbun banyaknya seperti Bukit Uhud pada jalan Allah, Allah tidak akan terima daripada perbelanjaan engkau itu kecuali setelah engkau beriman dengan qadar Allah, setelah engkau mengetahui bahawa apa yang akan menimpa ke atas engkau, ia tidak akan menyimpang daripada engkau. Dan sekiranya engkau mati bukan di dalam akidah ini, nescaya engkau akan masuk neraka.” Kemudian aku datang menemui Huzaifah pula. Ia juga berkata seperti katanya Ubai bin Kaab juga. Kemudian aku datang lagi menemui Zaid bin Sabit, ia menceritakan kepadaku hadis Nabi seperti itu juga.

[HR Abu Daud, Ibn Majah, Al-Tabarani & Ibnu Hibban]

Diriwayatkan daripada Ubadah bin Al-Samit r.a., ia pernah berkata kepada anaknya ketika hampir ajalnya, “Wahai anakku! Sesungguhnya engkau tidak akan merasai hakikat iman hingga engkau mengetahui bahawa apa yang telah ditakdirkan mengenai engkau, ia tidak akan menyimpang daripada engkau, & apa yang menyimpang daripada engkau, ia tidak akan mengenai engkau, kerana aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya): “Sesungguhnya awal-awal makhluk yang Allah ciptakan ialah “Qalam”. Allah berkata kepada Qalam: “Tulislah.” Jawabnya, “Wahai Tuhanku! Apakah yang aku hendak tulis.” Allah berkata: “Tulislah takdir tiap-tiap suatu hingga ke hari kiamat.””

[HR Abu Daud, Ibnu Majah, & Ahmad]

Berkata Ubadah bin Al-Samit lagi, “Wahai anakku! Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya): “Siapa yang mati bukan dengan pegangan ini, maka ia bukan daripada golonganku.””

[HR Abu Daud]

Akidah ini menjadikan pengaruh yang mendalam dalam jiwa para sahabat. Kerana itu para sahabat bertaburan di bumi membawa akidah beriman kepada qadar Allah sebagaimana yang diajar oleh baginda Rasulullah kepada mereka.

Baginda berkata kepada Abdullah bin Abbas r.a. (maksudnya): “Wahai anak muda! Jagalah engkau akan (suruhan & larangan) Allah, nescaya Dia akan menjaga engkau. Jagalah engkau akan Allah, nescaya engkau mendapatinya di hadapan engkau. Apabila engkau memohon sesuatu, maka pohonlah kepada Allah. Apabila engkau meminta tolong, mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa jika seluruh umat manusia bersepakat hendak memberi manfaat kepada kamu dengan sesuatu, mereka tidak dapat memberikan manfaat kepada kamu kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah untuk kamu. Dan jika mereka bersepakat hendak mengenakan kemudharatan kepada kamu dengan sesuatu, mereka tidak dapat mengenakan kemudharatan itu kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah ke atas kamu. (Kerana) qalam telah terangkat (segala ketetapan telah ditetapkan) & telah kering lembaran (segala catatan telah selesai tertulis).”

[HR Al-Tirmidzi, hadis hasan sahih]

Akidah inilah yang menerap masuk ke dalam jiwa mereka yang tenang, lalu menjadikan hati mereka merasa dalam keadaan aman & menyuburkan perasaan. Jiwa mereka tenang dengan keluar menyebarkan Islam kepada manusia. Mereka merasai kecilnya segala kekuatan manusia di bumi ini berhadapan dengan iman mereka dengan qadar Allah.

Salman Al-Farisi pernah ditanya, “Apakah pentafsiran yang diberi mengenai hadis Nabi “Hingga engkau beriman dengan qadar baik & qadar jahat.” Salman menjawab, “Hingga engkau yakin bahawa apa yang menyimpang daripada engkau, ia tidak akan menimpa ke atas engkau. Dan apa yang akan menimpa ke atas engkau, ia tidak akan menyimpang daripada engkau.” Inilah jawapan Salman Al-Farisi, malah jawapan para sahabat Rasulullah s.a.w.

Manakah kebahagiaan jiwa yang lebih daripada kebahagiaan [jiwa] yang berisi dengan akidah ini?!

Manakah keberanian yang lebih daripada keberanian hati yang penuh beriman bahawa segala urusan berada di tangan Allah, sedangkan manusia tidak ada hak mengurus sedikitpun?!

Sesungguhnya kekuatan di bumi itu tidak dapat menghalang manusia yang membawa akidah ini & penuh berkeyakinan dengannya.

Oleh yang demikian, kita berani bertegas mentafsirkan bahawa amalan hebat & jasa-jasa yang dibuktikan oleh generasi pertama, para sahabat yang memperjuangkan agama ini adalah amalan yang seolah-olah amalan ganjil, mengagumkan akal & menyalahi adat, tetapi ia adalah kenyataan. Sesungguhnya kerja-kerja yang dibuktikan oleh baginda Rasulullah s.a.w. & para sahabatnya adalah natijah daripada keimanan mereka kepada Allah, hari akhirat & keimanan mereka kepada qadar Allah Azzawajalla.

[Akan Bersambung dalam Bahagian II.]

Nota daripada buku:

[i] Iklam Al-Mukha’in Jilid 1 Halaman 71.

Nota tambahan:

[a] Pentafsilan: Penghuraian sesuatu dengan teliti.


Petikan daripada:

“Iman: Rukun, Hakikat & Pembatalannya.” Topik: Beriman Kepada Qadar Dan Pengaruhnya Dalam Kehidupan Seorang Muslim, m.s. 238-242. Karya Dr. Muhammad Naim Yasin. Diterjemah oleh Ust. Abdul Rahman Abdullah (Universiti Songkla Nakarin, Patani). Diterbitkan oleh Pustaka Darussalam Sdn. Bhd., Edisi Semakan Semula, 2015. Judul asal dalam Bahasa Arab: “Al-Iman: Arkanuhu, wa haqiqatuhu, wa nawaqidhuhu.”

Advertisements