[Sambungan daripada Bahagian II.]

Ditanya Imam Ahmad mengenai seorang lelaki yang memiliki harta sebanyak seratus ribu dinar, apakah boleh ia menjadi zahid (orang yang zuhud)? Jawabnya: “Ya, boleh jadi zahid (orang yang zuhud) dengan dua syarat:

  1. Jangan terlalu gembira ketika harta itu bertambah banyak,
  2. Jangan berdukacita ketika harta itu mulai kurang.”

Berkata sesetengah ulama dahulu: “Orang-orang zuhud ialah orang yang syukurnya dapat mengatasi perkara-perkara halal & sabarnya dapat mengatasi perkara-perkara haram.”

Umar bin Al-Khattab pernah menulis pesanannya kepada Abi Musa Al-Asyaari yang isinya: “Amma ba’du, maka sesungguhnya semua kebaikan ada bersama perasaan redha. Jika engkau berkuasa meredhai maka redhakanlah, kalau tidak maka bersabarlah.”

Berkata Ibn ‘Ata’: “Redha itu bererti ketenangan hati seseorang kepada pilihan Allah yang sediakala terhadap hamba-Nya bahawa Allah telah memilih yang baik untuknya.”

Bersabar adalah wajib, menurut sepakat kata ulama. Dan yang lebih tinggi lagi ialah perasaan redha dengan hukuman Allah.

Mengenai redha pula, ada pendapat mengatakan wajib, ada yang mengatakan mustahab (digalakkan). Walau bagaimanapun mereka bersepakat mengatakan redha itu tidak kurang daripada mustahab.

Asas bagi perasaan redha ialah:

  • Beriman kepada Allah,
  • Sentiasa merasai kasihan belas Allah terhadap hamba-Nya.

Berkata Abdul Wahid bin Zaid: “Perasaan redha merupakan:

  • Pintu menuju Allah yang terbesar,
  • Syurga di dunia ini,
  • Tempat bertenang hati orang-orang abidin (yang beribadat).”

Orang yang ada perasaan redha:

  • Mereka menanti-nanti pahala melalui redha dengan Qada’ & Qadar Allah,
  • Mereka lupa akan kepahitan Qada’ & Qadar yang menimpanya,
  • Kadang-kadang ia memerhati & menanti-nanti kebesaran & kesempurnaan ujian itu,
  • Ia merasa rindu kepada Qadar sampai tidak merasai kepahitan ujian ini,
  • Malah merasai lazat dengan ujian itu, kerana hatinya rindu kepada Allah yang menjadi kekasihnya.

Ketahuilah wahai saudara-saudara pembaca bahawa redha & sabar yang lahir daripada keimanan kepada Qadar Allah, kedua-duanya itu memberi erti:

  • Redha dengan musibah & ujian yang telah ditakdirkan.
  • Bersabar mentaati perintah Allah, menjauhi larangan-Nya & bersabar di atas perkara yang tidak diingini.

Redha di sini bukanlah bererti:

  • Rela melanggar perintah Allah & berpuashati dengan berada di dalam kekufuran, kemaksiatan & kefasikan.
  • Bersabar di atas kehinaan & penindasan, kerana Allah tidak rela & tidak suka kepada hamba yang berada di dalam kekufuran, kehinaan & kemaksiatan. Maka keredhaan yang dicari semestinya menurut keredhaan Allah & kesabaran engkau pula adalah pada mentaati Allah & pada jalan Allah.

Sesungguhnya redha dengan Qadar Allah, bersabar di atas ujian & sanggup menerima hukum Allah adalah asas yang penting bagi pembinaan jiwa yang tenang. Dia-lah yang mendorong semua kemampuan manusia untuk bergerak di bawah naungan manhaj Allah, tidak mengundur ke belakang, tidak berdukacita & kesal, & tidak ada lagi ucapan “Kalau begitu, kalau begini,” tetapi yang ada ialah ucapan “Qadarallah wa maa sya’a fa’al;” maksudnya: Itu adalah takdir Allah, apa yang dikehendaki-Nya tetap akan berlaku.

Akidah ini akan menenangkan hati, merehatkan badan, jiwa & perasaan, menghilangkan dukacita. Oleh yang demikian, tidak ada kegelisahan, keharuan perasaan & tindakan yang luar biasa. Sebaliknya, yang ada ialah kepuasan hati, ketenangan, kerehatan, keamanan, kelapangan dada, kerinduan kepada Rahmatullah & keadilan Allah, keyakinan dengan ilmu Allah & hikmatnya. Kerana Dia-lah tempat berlindung daripada serangan perasaan was-was & hasutan.

Sesungguhnya keyakinan dengan akidah ini melahirkan natijah yang besar & positif dalam kenyataan hidup manusia & kenyataan di atas bumi ini. Adapun masyarakat yang kosong daripada akidah ini, tidak beriman kepada Allah & kekuasaan-Nya dalam mentadbir urusan hidup mati makhluk, mereka akan menerima balasan & berkekalan dalam azab di alam akhirat nanti, manakala di dunia ini mereka akan menemui kegelisahan jiwa, keharuan perasaan, kesempitan hidup sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat:

Tha Ha-20_123-124_part

… Maka barangsiapa yang mengikut petunjuk-Ku, ia tidak akan sesat & tidak akan celaka. Dan barangsiapa yang berpaling daripada peringatan-Ku, sesungguhnya [baginya] penghidupan yang sempit & Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta.

[Surah Tha Ha, 20: 123-124]


Petikan daripada:

“Iman: Rukun, Hakikat & Pembatalannya.” Topik: Beriman Kepada Qadar Dan Pengaruhnya Dalam Kehidupan Seorang Muslim, m.s. 247-250. Karya Dr. Muhammad Naim Yasin. Diterjemah oleh Ust. Abdul Rahman Abdullah (Universiti Songkla Nakarin, Patani). Diterbitkan oleh Pustaka Darussalam Sdn. Bhd., Edisi Semakan Semula, 2015. Judul asal dalam Bahasa Arab: “Al-Iman: Arkanuhu, wa haqiqatuhu, wa nawaqidhuhu.”

Advertisements