Menurut riwayat, bahawa apabila baginda Sultan al-Malik al-Zahir telah mengadakan persiapan perang untuk memerangi orang-orang Tatar (Monggol), lalu digunakanlah fatwa ulama yang mengharuskan mengambil harta rakyat untuk kepentingan perang melawan musuh. Ulama fiqh negeri Syam telah menulis menerangkan fatwa tersebut, tetapi baginda belum merasa senang hati kalau Imam Nawawi[i] tidak memberi fatwanya.

Lalu baginda bertitah, “Masih adakah lagi orang lain?”

“Masih ada, al-Syaikh Muhyiddin al-Nawawi,” demikian jawapan yang disampaikan kepada baginda.

Kemudian baginda menjemput Imam Nawawi & meminta beliau memberi fatwanya bersama ulama fiqh mengenai pengambilan harta rakyat untuk peperangan. Beliau berterus terang tidak mahu memberi fatwanya & enggan.

Baginda bertanya, “Apakah sebabnya beliau enggan?”

Lalu beliau memberi penjelasan mengapa beliau terpaksa menerangkan sikapnya & keengganannya memfatwakan sama seperti fatwa para ulama.

Beliau dalam penjelasan kepada baginda menerangkan seperti berikut, “Ampun tuanku! Adalah patik sememangnya mengetahui dengan sesungguhnya bahawasanya tuanku adalah dahulunya seorang tawanan, tidak ada sebarang harta benda. Tetapi [dengan] pertolongan Allah, telah dilimpahkan kurnia-Nya kepada tuanku dengan dijadikan tuanku seorang raja.”

“Ampun tuanku! Adalah patik telah mendengar bahawasanya tuanku ada memiliki seribu orang hamba, tiap-tiap seorang ada mempunyai beberapa ketul emas. Manakala dua ratus orang khadam wanita milik tuanku, masing-masing mempunyai barang-barang perhiasan yang bernilai. Andaikata tuanku sendirian membelanjakan kesemua itu untuk keperluan perang sehingga mereka tidak lagi mempunyai barang-barang itu, maka patik bersedia memberikan fatwa untuk membenarkan tuanku mengambil harta rakyat.”

Kesimpulannya, beliau berfatwa tidak membenar baginda mengambil harta rakyat selama kekayaannya sendiri masih dapat dipergunakan. Baginda al-Malik al-Zahir murka kepadanya kerana fatwanya yang amat menggemparkan sehingga baginda mengeluarkan perintah supaya beliau segera keluar dari Damsyik.

Imam Nawawi menerima saja perintah pengusirannya itu dengan girang hati. Lalu beliau pun keluar ke Nawa. Para ulama Syam telah berusaha menjemput beliau balik semula ke Damsyik, tetapi beliau enggan sambil berkata, “Saya tidak akan balik ke Damsyik selama baginda masih berkuasa.”

Kisah ini memberikan kepada kita suatu gambaran yang jelas tentang keberanian jiwa seorang ulama yang tidak mahu mengejar pangkat & kedudukan, & tidak rela mengorbankan kebenaran hukum untuk kepentingan seorang dengan merugikan orang ramai.

Keberanian Imam Nawawi menegakkan suatu kebenaran adalah sebaik-baik contoh kepada ulama, di mana mereka dikehendaki untuk mengatakan sesuatu yang benar menurut hukum, walau kepada sesiapa pun juga, & mereka tidak boleh bersifat pengecut & pengkhianat kebenaran semata-mata dipengaruhi seribu satu macam kebimbangan & ketakutan.

Umat Islam kini memerlukan kepada ulama yang berjiwa besar seperti Imam Nawawi & kita berharap semoga ada hendaknya mereka itu dalam kalangan masyarakat Islam, untuk kebaikan agama & umat.

Nota:

[i] Imam Nawawi hidup dari 631 – 676 H, bersamaan 1233 – 1277 M.


Petikan daripada:

“Hadith 40: Terjemahan & Syarahnya”. Susunan Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Sharif al-Nawawi. Bab: Sejarah Ringkas Peribadi Imam Nawawi, subtopik: Fatwa Imam Nawawi Yang Menggemparkan, ms. 46-47. Terjemahan & syarahnya oleh al-Ustadh Mustafa ‘Abdul Rahman. Terbitan Dewan Pustaka Fajar, 2008.

Advertisements