Untuk menjaga kesihatan jiwa, [biasakan] dengan pengasahan otak setiap hari, walau [dengan] latihan yang sekecil-kecil sekalipun. Kerana bila otak dibiarkan menganggur [daripada] berfikir, bisa pula [ia] ditimpa sakit, menjadi bingung. Tiap-tiap hari otak mesti diperbaharui. Kalau otak malas berfikir, kita menjadi dungu. Tumbuhnya pak turut adalah kerana malas berfikir. Itulah mati di dalam hidup. Haruslah diajar kekuatan berfikir sejak kecil, kerana orang yang kuat berfikirlah yang dapat menghasilkan hikmat. Jika besar kelak, dia akan menjadi bintang pergaulan yang gemerlapan, menjadi garam, yang tanpa dia, sambal masyarakat tidak ada rasa.

Fikir berdekat dengan pengalaman. Seorang pemikir yang berpengalaman bisa mengambil natijah (kesimpulan) suatu perkara dengan segera, sedang orang lain memandang perkara itu besar & sulit. Sebab dari fikirannya & pengalamannya, dia sudah biasa menjalankan mantiknya. Kalau perkara ini asalnya begitu, tentu akibatnya begini. Dan perjalanan Sunnatullah ini tidaklah akan salah. Yang kerap kali salah ialah jalan berfikir.

Setelah dia menjadi ahli fikir & berpengalaman, tambah berseri jika dia berilmu. Laksana seorang yang mempunyai sebuah keris pusaka yang tajam, sentiasa diasah & digosoknya. Kalau keris itu disimpan saja, tidak diasah, [tidak] digosok, akan berkarat, walaupun dahulu kala dia bertuah, sebab tuah semasa tajamnya, Orang Jawa menamainya “Keris yang kehilangan pamor.”

Demikian ilmu dengan fikiran, tidaklah enggan seorang ahli ilmu menambah ilmu, sebab ilmu adalah laksana lautan, bertambah diselami bertemulah barang-barang ajaib yang belum pernah dilihat & didengar. Orang umpamakan rahsia & keajaiban alam ini dengan lautan besar. Ombaknya yang memecah, membawakan mutiara & yang tersimpan di dasar lautan masih banyak, sampai kiamat dunia, perbendaharaan laut itu belum akan habis-habisnya.

Berkata al-Hasan al-Basri: “Pimpin & kendalikanlah jiwa dengan baik, kerana ia amat liar, & beri ingatlah, kerana dia lekas lupa.”


Petikan daripada:

“Tasawuf Moden”. Bab 4: Kesihatan Jiwa & Badan, subtopik: Membiasakan Pekerjaan Berfikir, ms. 170-171. Karya Prof. Dr. HAMKA. Terbitan PTS Publishing House, 2017.

Advertisements